Gegar Vaganza 10: Kejuaraan yang disia-siakan?
Dengan bersiarannya Gegar Vaganza musim ke-10 dalam edisi All Stars Gegar Vaganza malam ini, sejujurnya saya sudah move on apabila Astro tidak mempertaruh penyanyi yang sudah lama hilang dari radar industri muzik tanah air, seperti yang biasanya.
Sekalipun seorang daripada mereka dinobat juara sekali lagi, apakah persembahan itu dapat dicerminkan melalui penghasilan lagu yang mampu menembusi pasaran lebih besar selepas bertanding? Nana bijak memanfaatkan kejuaraan untuk tempoh yang sangat lama selepas GV2. Cuma, kalaulah Nana bersabar sedikit, portfolionya mungkin menjadi lebih cantik jika dia menerbitkan album pop penuh selepas kegagalan komersial Semakin Jelas . Tidaklah dia hadir single demi single sahaja.
Bercerita tentang Noryn, saya tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi. Ya, beberapa lagu dihasilkan bersama Ajai iaitu Lepas, Aku dan Diriku dan O..O kini hanya menjadi khazanah yang tidak akan didengari sesiapa. Tiada yang istimewa untuk saya cerita tentang Cliff Umar lebih-lebih lagi selepas dia tidak lagi peduli dengan industri muzik Malaysia. Apa rasionalnya dia muncul kembali? Bagi Ayai dan Aishah, di usia emas ini, apa lagi yang mahu mereka dibuktikan? Ya, mereka berdua juga ada produk baharu, tapi bukan dalam bentuk komersial.
Aliff Aziz adalah kalangan juara termuda. Dia masih mempunyai perjalanan yang panjang. Penyanyi Sayang-Sayang ini tidak sepatutnya mensia-siakan kembara bermuziknya dengan naskhah yang biasa sahaja. Mempertaruh single berjudul Genggam, saya percaya lagu ini boleh pergi jauh jika dipromosi dengan lebih meluas.